Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang manusia fitrah
yang sejak awal kejadian baginda s.a.w sentiasa bergerak di atas landasan
fitrah insan yang suci murni. Fitrah yang suci bersih lagi murni akan
mencetuskan perjuangan dalam jiwa apabila insan itu dibaluti oleh suasana
yang penuh dengan kemunkaran, kezaliman, penyembahan berhala dan benda-benda
alam, perebutan kuasa, kegilaan kepada harta dan berbagai-bagai adat serta
kebudayaan yang menyimpang jauh daripada sifat fitrah yang asli. Perjuangan
dalam jiwa Nabi Muhammad s.a.w sampai ke kemuncaknya apabila baginda s.a.w
mencapai usia 36 tahun. Kejahilan, kesyirikan, kekafiran, kemunkaran dan kezaliman
yang berleluasa di dalam masyarakat menjadi beban yang sangat berat
menghimpit jiwa fitrah baginda s.a.w. Tekanan tersebut menjadi lebih kuat
lantaran segala kerosakan itu terjadi kepada orang-orang yang hampir dengan
baginda s.a.w, kaum keluarga dan masyarakat yang sama keturunan dengan
baginda s.a.w, sedangkan jalan untuk menyelamatkan mereka tidak terbuka. Jiwa
fitrah yang sangat mengasihi sesama manusia sangat menginginkan keselamatan
dan kesejahteraan kepada sekalian manusia. Jiwa yang seperti inilah yang
selalu menderita apabila melihat kerosakan yang terjadi kepada orang lain.
Fitrah yang suci murni memiliki bakat yang
istimewa iaitu kebolehan untuk mengenal dan mengerti tentang sesuatu yang
benar dan juga memiliki keupayaan untuk bergerak kepada yang benar itu.
Apabila mencapai usia 36 tahun Nabi Muhammad s.a.w diheret oleh fitrah
suci baginda s.a.w ke Gua Hiraa, kira-kira 10 km ke utara Makkah. Gua
tersebut terletak di atas Gunung Hiraa, kira-kira 20 meter dari puncak
gunung. Seorang lelaki yang kuat memerlukan masa kira-kira 40 minit untuk
mendaki dari bawah hingga ke aras Gua Hiraa. Laluan masuk ke dalam gua
tersebut sangat sempit, di celah dua buah ketulan batu besar yang
hampir-hampir bertaut. Seseorang yang ingin melaluinya perlu menyusup dengan
bersusah payah. Setelah berjaya melepasi laluan yang sempit itu seseorang itu
akan masuk ke dalam satu ruang kosong yang sempit juga. Ruangnya tidak
memadai untuk seorang manusia tidur dengan selesa di dalamnya.
Gua tersebut disembunyikan oleh batu-batu
besar, hampir-hampir tidak ada cahaya matahari yang masuk ke dalamnya.
Batu-batu di sekitar gua itu berwarna hitam kemerah-merahan yang boleh
menimbulkan rasa gerun dalam hati sesiapa yang menyaksikan pemandangan di
sana. Bahagian yang terdapat Gua Hiraa merupakan bahagian yang paling
menggerunkan di antara semua bahagian Gunung Hiraa.
Tarikan Fitrah telah membawa Nabi Muhammad
s.a.w ke tempat yang tidak ada manusia mahu pergi, apa lagi tinggal beberapa
hari di sana siang dan malam. Bulan Ramadan merupakan tempoh yang paling
baginda s.a.w gemar berkhalwat di Gua Hiraa. Baginda s.a.w berulang-alik ke
Gua Hiraa sehinggalah wahyu yang pertama turun ketika usia baginda s.a.w
menjangkau 40 tahun.
Suasana Gua Hiraa menceritakan bahawa hanya
insan yang berjiwa besar dan sangat berani serta bersemangat waja sahaja yang
sanggup tinggal di sana seorang diri, siang dan malam dan berhari-hari
lamanya. Hanya tawakal dan keyakinan yang teguh membuat seseorang mampu
bertahan di dalam kegelapan Gua Hiraa, tidak dapat melihat binatang bisa
seperti ular dan jengking yang mungkin muncul pada bila-bila masa sahaja.
Insan yang boleh tinggal di sana pastilah di dalam jiwanya tidak ada sebesar
zarah pun rasa takut kepada makhluk, kecintaan kepada dunia, harta benda, pangkat
dan kemuliaan. Hanya jiwa Islam (berserah diri sepenuhnya kepada Allah s.w.t)
yang sempurna dapat tinggal sendirian di dalam Gua Hiraa. Tujuan, harapan dan
pergantungan hanyalah Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
Semakin mendekati usia 40 tahun semakin kerap
Nabi Muhammad s.a.w mengunjungi Gua Hiraa. Apabila berada di luar gua,
terutamanya pada waktu malam, baginda s.a.w merenung bangunan alam maya,
melihat kerapian susunannya dan keindahan gubahannya. Apabila berada di dalam
gua baginda s.a.w merasakan ketenangan, kedamaian dan kelazatan. Gua Hiraa
yang gelap gelita dan sunyi sepi memisahkan baginda s.a.w daripada seluruh
alam dan sekalian makhluk. Kegelapan membungkus jasad hinggakan pengaruh
jasad tidak lagi menghijab hati nurani. Apabila terpisah daripada segala yang
maujud, fitrah suci akan merdeka dari segala sesuatu kecuali Allah s.w.t.
Cahaya fitrah yang suci lagi murni memancar dengan terang benderang menyuluh
ke seluruh pelusuk alam maya menyaksikan dengan jelas apa yang tidak mampu
dipandang dengan mata. Tiap sesuatu menjadi terang benderang di dalam sinaran
fitrah suci Nabi Muhammad s.a.w. Tidak ada satu zarah pun yang terlindung
daripada pandangan mata hati baginda s.a.w. Semuanya jelas dan nyata namun,
masih ada satu yang tidak dapat disingkap oleh fitrah, walaupun seseorang itu
manusia suci.
Fitrah mampu menyingkap rahsia kemanusiaan
sehingga manusia boleh membentuk tatasusila kehidupan yang sesuai untuk
dijalani oleh semua umat manusia. Fitrah boleh membentuk sistem moral yang
baik. Fitrah dapat menguruskan pentadbiran negara dan perdagangan. Fitrah
dapat meneroka alam maya dan benda-benda alam. Tetapi apabila berhadapan
dengan Pencipta manusia dan alam sekaliannya dan juga Pencipta fitrah itu
sendiri maka fitrah hanya mampu berkata, “Allah!” dan masuk kepada penyerahan
tanpa takwil.
Apa yang dilalui oleh Nabi Muhammad s.a.w di
Gua Hiraa pernah dialami juga oleh Nabi Ibrahim a.s, sebagaimana diceritakan
oleh al-Quran:
![]()
Dan demikianlah Kami perlihatkan
kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan
supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh
yakin. Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah
bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian
apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak
suka kepada yang terbenam hilang.” Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit
(menyinarkan cahayanya), ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu
terbenam berkatalah ia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk
oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”. Kemudian apabila
ia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah ia:
“Inikah Tuhanku? Ini lebih besar!” Setelah matahari terbenam, ia berkata
pula: “Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang
kamu sekutukan (Allah dengannya). Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku
kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar
tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyengutukan Allah (dengan
sesuatu yang lain)”. ( Ayat 75 – 79 : Surah al-An’aam )
Tafakur membawa Nabi Ibrahim a.s berhujah
dengan fahaman-fahaman yang menjadikan benda-benda alam sebagai tuhan-tuhan.
Tafakur dan hujah berakhir pada tahap: “Aku hadapkan wajahku kepada yang
menciptakan semua langit dan bumi. Aku hadapkan dengan fitrah yang hanif. Aku
tidak mempersekutukan-Nya dengan apa-apa pun”. Tahap terakhir ini Allah s.w.t
bukakan kepada para hamba-Nya yang Dia kehendaki. Hadapkan fitrah suci
kepada-Nya dengan penuh keikhlasan tanpa mengadakan sebarang takwil
mengenai-Nya dan tidak mengadakan sekutu bagi-Nya. Dia sendiri menentukan
bila dan bagaimana Dia berkehendak mengadakan pembukaan kepada hamba-Nya.
Pada 17 Ramadan, tahun 41 daripada umur Nabi
Muhammad s.a.w, datanglah malaikat Jibrail a.s membawa wahyu yang pertama
daripada Tuhan Azza wa Jalla, sebagai menyempurnakan lagi fitrah Nabi
Muhammad s.a.w, menaikkan fitrah insan kepada darjat fitrah Muslim, menjawab
segala yang terkilan, menghuraikan segala yang kusut dan membukakan segala
yang tertutup. Sempurnalah kesempurnaan Muhammad bin Abdullah bin Abdul
Muttalib bin Hasyim dipersiapkan untuk menanggung mahkota seluruh alam,
menjadi penutup sekalian nabi-nabi, menjadi penyelamat umat manusia dan dunia
seluruhnya, menjadi rahmat kepada sekalian alam dan menjadi kekasih Allah!
|
Kamis, 22 September 2016
NABI MUHAMMAD S.A.W INSAN FITRAH
Langganan:
Postingan (Atom)
